Karier kelab Gaël_Clichy

Awal karier

Clichy memulakan karier bola sepaknya ketika berumur lima tahun dengan bermain untuk kelab AS Hersoise. Dia pada asalnya bermain menggunakan kaki kanan tetapi selepas latihan daripada bapanya, Clichy menggunakan kari kirinya. Selepas lima musim bersama Hersoise, Clichy menyertai JS Cugnaux.[2] Dia hanya bermain selama setahun di kelab itu sebelum berpindah ke AS Muret.[2] Pada tahun 1998, Clichy menyertai AS Tournefeuille dan mula menghadiri Collège Leonardo da Vinci. Semasa bermain untuk Tournefeuille, dia dipilih untuk menghadiri Pôle Espoirs de Castelmaurou, sebuah akademi daerah terletak di Midi-Pyrénées. Clichy menghabiskan tiga tahun di pusat latihan itu dan bermain untuk Tournefeuille pada hujung minggu. Pada tahun 2000, Clichy dikaitkan dengan pelbagai kelab profesional seperti Auxerre, Bordeaux dan Toulouse yang ingin mendapatkan khidmatnya.[2] Pemain muda itu mengambil keputusan untuk berpindah ke Provence-Alpes-Côte d'Azur untuk bermain dengan kelab profesional, Cannes.

Clichy tiba di Cannes pada tahun 2000 semasa kelab itu bermain dalam Ligue 2, divisyen kedua bola sepak Perancis. Semasa di kelab itu, Clichy kebanyakkannya bermain sebagai pemain tengah dan diselia oleh bekas pemain antarabangsa Perancis dan Saint-Étienne, Christian Lopez.[2] Dia memulakan kariernya di kelab itu bermain untuk akademi belia mereka bersama-sama Julien Faubert. Semasa bahagian akhir musim 2001–02, Clichy bermain untuk pasukan simpanan kelab itu dalam Championnat de France amateur 2, peringkat kelima bola sepak Perancis. Pada musim berikutnya, dengan kelab itu bermain dalam Championnat National, peringkat ketiga bola sepak Perancis, dia dinaikkan ke pasukan senior secara tetap oleh Lopez, yang pada masa itu mengurus kelab. Clichy kemudiannya bermain di bawah Robert Buigues selepas pemecatan Lopez dan beraksi dalam 15 perlawanan.[5]

Arsenal

2003–2006

Pengurus Arsenal, Arsène Wenger nampak bakat Clichy ketika pemain itu pertama kali tiba di Cannes ketika berumur 16 tahun. Susulan musim 2002–03, Wenger menghubungi Clichy secara terus dalam usaha untuk menandatangani pemain itu. Pada bulan Jun 2003, pengurus Arsenal itu melawat Clichy di Tournefeuille dan menawarnya kontrak profesional bersama kelab itu. Wenger memberitahu Clichy bahawa "awak akan bermain" sudah cukup untuk meyakinkan Clichy dan keluarganya.[2]

Clichy bersama Arsenal

Seperti dijanjikan Wenger, Clichy memulakan musim itu dalam pasukan senior dan menjadi pemain sandaran untuk Ashley Cole. Dia membuat penampilan sulungnya pada 28 Oktober 2003 bersama-sama Cesc Fàbregas dalam perlawanan Piala Liga menentang Rotherham United. Arsenal menang 9–8 menerusi penentuan penalti dengan Clichy menyempurkan sepakannya.[6] Pada 22 November, Clichy membuat penampilan sulungnya dalam liga ketika kemenangan 3–0 ke atas Birmingham City.[7] Selepas kecederaan Cole pada bulan Disember, Clichy muncul dalam sembilan perlawanan berturut-turut; enam daripadanya dalam kesebelasan utama. Pada 24 Februari 2004, dia membuat penampilan sulungnya dalam Liga Juara-Juara UEFA ketika kemenangan 3–2 pusingan kalah mati menentang Celta de Vigo.[8] Clichy menghabiskan kempen itu dengan membuat tujuh lagi penampilan. Pada 9 Mei 2004, dia bermain sebagai pemain gantian ketika kemenangan 1-0 Arsenal's 1–0 ke atas Fulham.[9] Seminggu kemudian, Clichy berada di bangku simpanan dalam perlawanan terakhir musim liga; menang 2–1 ke atas Leicester City.[10] Kemenangan itu membolehkan Arsenal tidak tewas sebarang perlawanan sepanjang musim. Ketika berumur 18 tahun dan 10 bulan, Clichy menjadi pemain termuda untuk memenangi pingat Liga Perdana Inggeris.

Clichy kekal sebagai pertahanna kiri pilihan kedua dibelakang Cole untuk musim 2004–05. Wenger memilihnya sebagai pertahanan kiri pilihan utama untuk perlawanan Piala FA. Clichy bermain dalam kesebelasan utama dalam setiap pusingan sehingga Arsenal layak ke peringkat separuh akhir dimana dia digantikan oleh Cole. Mereka berjaya memenangi pertandingan itu dengan menewaskan Manchester United 5–4 menerusi penalti sekaligus memberikan Clichy trofi piala domestik pertamanya.[11] Dalam Liga Perdana Inggeris, Clichy beraksi 15 perlawanan, tujuh dalam kesebelasan utama. Dalam Liga Juara-Juara UEFA, dia hanya membuat dua penampilan; ketika kemenangan 5–1 dalam peringkat kumpulan menentang kelab Norway, Rosenborg dan kekalahan 3–1 dalam pusingan kalah mati menentang kelab Jerman, Bayern Munich.[12][13] Musim Clichy berakhir pada bulan April kerana kecederaan kaki berulang.[14] Dalam musim 2005–06, Clichy diberi peluang untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama selepas kaki Cole patah pada bulan Oktober 2005. Kecederaan itu membolehkan Clichy dapat beraksi dalam pasukan utama semasa ketiadaan Cole, tetapi selepas beraksi enam perlawanan, Clichy mengalami kecederaan yang sama pada bulan November dan tidak boleh beraksi selama empat bulan.[14] Dia kembali ke pasukan pada 25 April 2006 dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang kelab Sepanyol, Villarreal, masuk menggantikan Mathieu Flamini yang cedera. Pada lewat perlawanan, Clichy melakukan kekasaran di dalam kotak penalti kepada José Mari. Pasukan lawan diberi penalti yang diambil Juan Román Riquelme tetapi berjaya diselamatkan Jens Lehmann.[15] Selepas beraksi ketika kemenangan 3–0 ke atas Sunderland di dalam liga pada minggu berikutnya, Clichy mengalami kecederaan kaki berulang. Kerana itu, dia terlepas perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan duduk di bangku simpanan keseluruhan perlawanan. Arsenal tewas 2–1 kepada Barcelona.[16] Pada bulan Ogos 2006, Cole meninggalkan kelab itu untuk menyertai Chelsea. Perpindahan itu sekaligus membenarkan Clichy menjadi pemain utama. Dalam tiga musim semasa Cole ada, Clichy membuat 24 penampilan liga untuk Arsenal dan 57 keseluruhan.

2006–2011

Clichy dan Antonio Valencia pada musim 2007–08.

Sebelum musim 2006 bermula, Clichy bergelut untuk memulihkan kecederaan kakinya. Clichy melawat Dr. Myerson pada bulan Jun 2006 dan terpaksa menjalani pembedahan lain. Pembedahan itu menyebabkan dia terlepas Kejohanan Eropah bawah-21 UEFA 2006 dan tiga bulan perlawanan domestik bersama Arsenal. Clichy kembali ke pasukan pada 14 Oktober 2006 ketika kemenangan 3–0 ke atas Watford sebagai pemain gantian.[17] Dia bermain keseluruhan perlawanan sepuluh hari kemudian dalam Piala Liga di mana mereka menang ke atas West Brom.[18] Pada 3 Mac 2007, Clichy membuat bantuan gol kepada Júlio Baptista ketika mereka menang 2–1 ke atas Reading.[19]

Musim 2007–08 merupakan musim terbaik dalam karier Clichy. Dia bermain dalam 49 perlawanan dan merupakan satu-satunya pemain yang muncul dalam kesemua 38 perlawanan liga. Clichy juga membuat enam bantuan gol.[20][21] Pada 28 April 2008, dia membuat dua bantuan gol ketika kemenangan 6–2 ke atas Derby County.[22] Untuk aksi cemerlangnya musim itu, Clichy dinamakan dalam Pasukan tahunan PFA bersama-sama rakan sepasukan, Bacary Sagna, Emmanuel Adebayor, dan Fàbregas. Pada 16 Mei 2008, Clichy melanjutkan kontraknya selama dua tahun sehingga bulan Jun 2012.

Semasa kempen pra-musim Arsenal menjelang musim 2008–09, Clichy menjadi kapten pasukan buat pertama kali ketika kemenangan 2–1 ke atas Barnet.[23] Pada 1 November 2008, Clichy menjaringkan gol profesional pertamanya ketika kekalahan 2–1 kepada Stoke City.[24] Selepas beraksi secara konsisten untuk pasukan dalam majoriti kempen, pada bulan April 2009, Clichy mula terlepas perlawanan kerana kecederaan. Selepas diketepikan selama beberapa minggu, ia telah diumumkan pada awal bulan Mei bahawa pemain pertahanan itu akan terlepas baki musim 2008-09 kerana kecederaan belakang.[25] Kecederaan belakang Clichy berulang selepas pemain itu mengalami keretakan tekanan belakang ketika kemenangan 3–0 ke atas Tottenham Hotspur.[26] Walaupun pada awalnya tidak boleh beraksi selama sebulan, Clichy tidak beraksi selama sepuluh minggu dan kembali ke pasukan pada bulan Januari 2010.

Pada 30 Oktober, dia membuat bantuan gol kepada Alex Song ketika kemenangan ke atas West Ham.[27] Clichy menjaringkan gol kedua dalam kariernya pada 2 Mac 2011 ketika kemenangan 5–0 ke atas Leyton Orient dalam perlawanan ulangan Piala FA.[28]

Manchester City

Clichy beraksi untuk Manchester City pada bulan April 2012 menentang bekas kelabnya, Arsenal.

Pada 4 Julai 2011, ianya telah disahkan bahawa Manchester City telah menandatangani Clichy dari Arsenal dengan yuran yang tidak didedahkan, dipercayai sekitar £7 juta dengan perjanjian empat tahun. Clichy membuat penampilan pertamanya untuk City ketika Jelajah AS.[29] Dia kemudiannya membuat penampilan kompetitif pertamanya ketika menentang Manchester United dalam perlawanan Perisai Komuniti FA 2011 dan penampilan Liga Perdana pertamanya ketika menentang Swansea City. Dia dibuang padang ketika menentang Chelsea kerana mengutip kad kuning kedua selepas kekasaran ke atas Ramires. Clichy meletakkan dirinya sebagai pertahanan kiri pilihan utama selepas permulaan musim. Pada 13 Mei 2012, hari terakhir musim Liga Perdana, Clichy bermain keseluruhan 90 minit menentang Queens Park Rangers di Stadium Etihad dimana mereka menang 3–2 dan City berjaya memenangi liga. Clichy mendapat pingat pemenang Liga Perdana Inggeris kedua dalam kariernya selepas memenangi bersama Arsenal pada musim 2003–04.Clichy bersetuju dengan perjanjian baru empat tahun bersama City pada bulan Mei 2013 selepas menandatangani kontrak yang akan mengekalkannya di Stadium Etihad sehingga tahun 2017. [30] Clichy memenangi satu lagi pingat pemenang Liga Perdana Inggeris pada bulan Mei 2014 selepas Manchester City merampas kejuaraan liga pada hari terakhir musim.[31] Clichy menjaringkan gol pertamanya Manchester City pada 30 November 2014 ketika kemenangan 0-3 ke atas Southampton FC di Stadium St Mary.

Rujukan

WikiPedia: Gaël_Clichy http://www.arsenal.com/history/profiles/132/gael-c... http://www.arsenal.com/match-menu/2998922/first-te... http://www.arsenal.com/news/news-archive/clichy-ou... http://www.arsenal.com/news/news-archive/match-rep... http://www.arsenal.com/news/news-archive/match-rep... http://www.fifa.com/mm/document/tournament/competi... http://soccernet.espn.go.com/news/story?id=644158&... http://www.scotsman.com/sport/football/latest/clic... http://www.skysports.com/story/0,19528,11679_70197... http://www1.skysports.com/football/live/match/2876...